Tuesday 3 May 2011

CENDOL

Suka minum cendol? Saya merupakan seorang penggemar cendol. Kalau saya nampak gerai/restoran cendol saya akan berhenti untuk menikmati cendol tersebut. Sebelum saya bercerita tentang gerai cendol di Negeri Sembilan yang saya tahu, saya ingin mencoret sejarah cendol.

Nama asal bagi cendol ialah chorn dooi bermaksud tolong. Kerana pada ketika itu hendak membuat cendol amat sukar dan memerlukan pertolongan beberapa orang lain. Chorn dooi diambil dari bahasa Selatan Thailand (bahasa Melayu Patani), dahulunya Negara Islam Patani. Setelah ditakluki oleh kerajaan Thai maka ramai penduduk negara Patani berpindah ke negeri-negeri di Tanah Melayu dan memperkenalkan sejenis minuman manis.

Ramuan asas cendol terdiri daripada santan, jeli hijau, ais and gula melaka. Selain daripada bahan asas ini, cendol boleh ditambah bahan lain seperti kacang merah, pulut, jeli hitam, dan jagung.

Bahan utama cendol iaitu jeli hijau dibuat dari tepung beras yang dicampur dengan air jernih daripada mendapan kapur sirih. Air perlu dimasak sehingga menggelagak dan dikacau hingga cair tapi pekat. Setelah itu campuran tadi dimasukkan ke tin yang ditebuk seperti siraman hujan. Campuran yang pekat tadi ditekan untuk keluar melalui lubang tersebut dan dibiarkan sejuk didalam bekas air yang disediakan di bawah bekas berlubang tersebut. Jeli ini boleh diwarnakan dengan hijau tetapi ia boleh juga diwarnakan mengikut warna kesukaan. Dahulunya, jeli ini diwarnakan dengan air daun pandan. Ia dihidangan bersama ais, air gula merah dan santan. Tetapi ditokok tambah pula dengan pulut dan susu isian manis.




Negeri Sembilan mempunyai banyak gerai cendol yang terkenal. Cendol Leman Dawi, Cendol Madu, Cendol Bitara adalah antara gerai cendol yang agak terkenal. Selain itu, gerai cendol yang diusahakan oleh mamak adalah seperti Shariff Cendol dan Cendol Kassim. Paling menarik kalau gerai cendol mamak ada rojak. Sepanjang jalan ke Kuala Pilah pula ada Cendol Jemapoh dan di Sungai Layang Rembau juga ada gerai cendol. Cendol di perhentian bas Kuala Pilah memang terkenal sejak dulu lagi.

Waktu kecil saya sering mengikut ibu ke pasar. Saya mengambil kesempatan ini minum cendol tepi jalan yang dijual oleh Aci India. Ayah pula suka membawa saya minum cendol di gerai pengusaha Cina (memang terkenal satu masa dulu) di Jalan Lee Sam Seremban. Bezanya cendol ini ada kacang merah dan cincau pelbagai warna seperti Air Batu Campur.

Kesimpulannya rasa cendol gerai Melayu, India, Cina dan Mamak memang ada bezanya. Nyatalah cendol minuman bangsa Malysia.